Hello CBP 2024 tawar 4 buah Proton S70, motosikal berkuasa tinggi
KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta bagi kempen Hello CBP 2024 yang bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun ini.
Melalui kempen ini, pelanggan yang bertuah berpeluang merebut empat hadiah utama berupa Proton S70, lapan motosikal Suzuki Gixxer 250, pakej umrah dan pelbagai hadiah menarik yang lain.
Pengerusi Co-opbank Pertama (CBP), Datuk Baharom Embi berkata, Hello CBP 2024 terbuka kepada pelanggan sedia ada atau pelanggan baharu yang melanggan produk-produk runcit CBP.
Antaranya adalah kemudahan deposit, Pembiayaan Peribadi Al-Yasser Pembiayaan Perumahan Al-Amali, Pembiayaan Ar Rahnu, Takaful Smartcare.
Katanya, kelainan yang dibawakan oleh CBP menerusi Hello CBP 2024 adalah cabutan yang diadakan pada setiap suku tahun iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.
“CBP pada tahun ini menawarkan nilai keseluruhan hadiah yang tertinggi kepada pelanggan-pelanggan iaitu lebih RM1.5 juta.
“Ini adalah sebagai penghargaan atas sokongan yang diberikan pelanggan kami dan kami mengharapkan agar terus mendapat sokongan yang berterusan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Hello CBP 2024 & Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Hello CBP di Hotel Concorde, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, barisan pengurusan tertinggi CBP dan pemenang cabutan Hello CBP 2023.
Kempen Hello CBP 2023 menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta BMW 2 Series Coupe218-i, hadiah pertama sebuah motosikal BMW GS310 dan pelbagai hadiah saguhati berupa pakej percutian bernilai RM5,000.
Sementara itu, Baharom berkata, sebagai usaha memperluaskan produk yang ditawarkan, CBP bakal melancarkan dua produk baharu iaitu Salam Bis dan pembiayaan sewa beli masing-masing pada suku pertama dan kedua tahun ini.
Katanya, Salam Bis merupakan produk akaun semasa yang menyediakan kemudahan pembankan secara dalam talian.
“Produk ini bertepatan dengan konsep bank koperasi yang mana pelanggan ambil produk dan guna perkhidmatan kita bukan sekadar menyimpan untuk dividen.
“Pembiayaan sewa beli pula sudah di peringkat lantikan ketua jabatan dan pengurusan untuk menyediakan produk yang kompetitif di pasaran,” katanya.
CBP adalah sebuah bank koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 yang dikawalselia bersama oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pada tahun lalu CBP mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tertinggi sebanyak RM103.43 juta, iaitu yang tertinggi sejak penubuhan institusi perbankan tersebut sejak 1950.