Seorang pendaki OKU antara 4 pendaki bakal takluk gunung tertinggi dunia
PUTRAJAYA – Seorang kelainan upaya (OKU) pekak, antara empat pendaki yang akan memulakan misi getir menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest di Nepal bermula 2 April sehingga 3 Jun ini.
Sekiranya kakitangan Muzium Pulau Pinang, Muhammad Hawari Hashim, 33 berjaya menamatkan misi ini, dia akan melakar rekod sebagai pendaki pertama OKU pekak Malaysia yang menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu.
Yang turut serta, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Lt. Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55.
Menurut Presiden Kelab Eksplorasi Altitud, Azim Afif Ishak, 35, merangkap ketua ekspidisi, bagi mengatasi masalah komunikasi yang dijangka boleh menyukarkan misi kali ini, pasukanya telah mempelajari bahasa isyarat.
Katanya, cabaran lain juga termasuklah cuaca buruk dan angin kencang yang dikhuatiri boleh menjejaskan perjalanan pendakian setinggi 8,848.86 meter ke puncak.
“Untuk pendakian ke puncak, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini yang pernah sampai ke puncak, laluan dia memang mencabar.
“Cabaran dari segi pasukan, kita lakukan dengan melakukan latihan di sana. Kita tidak boleh mendaki lebih daripada 1,000 meter untuk satu hari.
“Cabaran lain, bila kita adanya OKU, dari segi komunikasi dia tidak dengar. Di situ kita menyusun strategi, kita buat bahasa isyarat tali dan belajar bahasa isyarat.
Azim, yang juga bekas pendaki Everest 2016, berkata, misi tersebut juga memakan masa selama 65 hari.
Ditanya mengenai strategi bagi memastikan pendakian dapat ditamatkan mengikut waktu yang ditetapkan, Azim berkata, mereka akan bertolak lebih awal bagi menyelesaikan masalah-masalah teknikal sebelum memulakan pendakian.
“Pada tahun ini untuk meningkatkan peluang kita ke puncak, adalah kita pergi 15 hari lebih awal. Kita selesaikan masalah teknikal apa yang perlu lebih awal.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh merasmikan Majlis Flag Off Malaysia Everest (ME 23) di lobi KBS di sini, hari ini.
Kata Hannah, beliau mencadangkan agar satu jelajah lawatan dilakukan oleh pendaki-pendaki berkenaan ke universiti dan pusat latihan bersepadu bagi berkongsi pengalaman menakluk puncak tertinggi dunia itu.
“Saya ucapkan selamat maju jaya. Saya harap misi ini tidak terhenti di sini, bila balik nanti saya cadangkan ‘road tour’ ke seluruh negara boleh diusahakan bagi mempromosikan sukan pendakian altitud tinggi.
Untuk rekod, ME 2023 merupakan kesinambungan Keluarga Malaysia Everest 2022 yang ditangguhkan disebabkan faktor cuaca dan keselamatan pendaki selepas berhadapan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 54 kilometer (km) hingga 70 km per jam.