Lelaki koyak, campak Al-Quran ditahan polis
JEMPOL – Tindakan seorang lelaki berusia 37 tahun yang mengoyak dan mencampakkan helaian al-Quran di Jalan Besar Palong di sini mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek ditahan selepas polis menerima tiga laporan yang dibuat orang awam mengenai kejadian itu.
“Polis menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan telah nampak seorang lelaki menaiki motosikal melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong semalam (Sabtu).
“Selain itu, polis turut menerima dua laporan penemuaan helaian dan senaskah al-Quran di atas jalan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, susulan laporan itu suspek yang mengaku melakukan perbuatan terbabit ditahan.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Polis membuat permohonan reman ke atas suspek hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A/427 Kanun Keseksaan.
Pihaknya mengingatkan orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video serta gambar kejadian di media sosial.