Berita Semasa

KESA FC digantung daripada Liga Bolasepak Terengganu

KUALA TERENGGANU – Persatuan Bolasepak Terengganu menggantung pasukan KESA FC dalam Liga Bolasepak Terengganu (TFL) susulan insiden pergaduhan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak Jumaat lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Datuk Marzuki Sulong berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan memutuskan pasukan dari Besut itu digantung dan disingkirkan daripada pertandingan TFL 2023 berkuat kuasa semalam.

Tindakan itu katanya sebagai hukuman kepada KESA FC yang gagal mengawal pemain dan pegawai pasukan sehingga bertindak ganas dan mendatangkan kecederaan parah kepada pemain dan pegawai pasulan NAG FC.

“Bagi mengelak perkara berkenaan berulang kembali dalam pertandingan, jawatankuasa TFL bersetuju sebulat suara memutuskan KESA digantung dan terkeluar daripada pertandingan TFL 2023 berkuat kuasa pada tarikh surat ini berdasarkan kuasa dan peruntukan yang ada dalam manual peraturan TFL 2023.

“Jadi semua perlawanan yang membabitkan KESA tidak akan diambil kira serta perubahan carta kedudukan tanpa membabitkan perlawanan kelab itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marzuki berkata, tindakan lanjut ke atas pegawai dan pemain pasukan itu akan ditentukan kemudian selepas diperhalusi jawatankuasa tatatertib.

Minggu lalu tular di media sosial video berdurasi dua minit 42 saat yang memaparkan insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Komplek Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Show More

Related Articles

Back to top button