Berita Semasa

Kerajaan beri jaminan kedudukan Mahkamah Syariah kekal utuh

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini kekal utuh sepertimana dinyata dan dijelaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mohktar berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Beliau berkata, susulan perkembangan itu beberapa penyesuaian dan perancangan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan agenda penambah baikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.

“Sebagai tindakan segera, saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berusaha mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes ini untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Selain itu Dr. Mohd Naim berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu-isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button