Imigresen tumpas sindiket pelacuran melalui media sosial
KUALA LUMPUR – Satu sindiket pelacuran yang menyediakan perkhidmatan bergerak (outcall girl) melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar ibu negara Jumaat lalu.
Dalam operasi itu, 49 warga asing dan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Afghanistan yang dipercayai menjadi penjaga premis dan ‘penghantar’ ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata, sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama lebih setahun itu menawarkan perkhidmatan menggunakan gambar wanita warga asing antaranya Thailand, Indonesia dan Vietnam.
“Wanita yang ditahan termasuk 32 wanita warga Indonesia, 13 warga Thailand, tiga warga Vietnam yang berusia antara 18 hingga 36 tahun.
“Pelanggan yang membuat tempahan untuk mendapatkan outcall girl akan menerima perkhidmatan mereka dengan kadar bayaran RM400 hingga RM1,200,” katanya.
Sementara itu, Jafri berkata hasil semakan awal mendapati lapan wanita Thailand yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Dalam serbuan itu, katanya sejumlah kondom, peralatan seks, lapan pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup dan sebuah kenderaan Perodua Axia turut dirampas.
Jafri berkata kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan JIM, sebanyak 31 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan manakala lebih 120 individu diperiksa oleh JIM) dalam Operasi Kutip di ibu kota malam tadi.
Jafri Embok berkata, operasi di kawasan tumpuan utama itu bermula 9.30 malam dengan penglibatan 42 pegawai pelbagai pangkat dibantu empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Operasi bermula jam 9.30 malam tertumpu di tiga lokasi warga asing berkumpul iaitu kawasan sekitar hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, Jambatan Saloma dan Pavilion Bukit Bintang susulan aduan orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama pada hari minggu di kawasan itu.
“Mereka yang ditahan adalah PATI berusia 19 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peratusan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hadir sama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan; Mohd Jasmi Mohd Juwahir, Pengarah Imigresen Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusof.