Berita Semasa

SPM tetap diteruskan – Fadhlina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bermula Isnin ini walaupun beberapa kawasan masih dilanda banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah membuat persediaan awal membabitkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Kementerian menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan lain berkaitan bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan SPM 2023.

“Kerjasama yang diadakan adalah bagi membantu membawa calon ke pusat peperiksaan,” kata Fadhlina, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Misi Bantuan Banjir Wanita PKR ke Pantai Timur di Presint 10, di sini hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 395,870 orang calon sudah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).

Berkenaan misi bantuan tersebut, kata Fadhlina, bekalan berupa barangan keperluan asas tersebut akan diagihkan Wanita PKR kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terkesan akibat banjir di Kota Bahru, Kelantan, Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang.

Bantuan berjumlah RM300,000 tersebut merupakan hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO)dan perseorangan, dan mula dikumpul sejak Disember lalu.

“Kita juga akan mengadakan bantuan fasa kedua melibatkan bahan bacaan dan keperluan sekolah kepada sekolah-sekolah yang terjejas banjir termasuk di Johor selepas ini,” kata Fadhlina lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button