Berita Semasa

Demi keselamatan data, PADU tidak diserah kepada vendor – Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) secara sepenuhnya oleh penjawat awam bertujuan untuk melindungi keselamatan data dan mengurangkan risiko pencerobohan sistem.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keputusan menggunakan penjawat awam bukan hanya dipengaruhi oleh faktor penjimatan semata-mata tetapi mempunyai sebab-sebab yang kritikal.

Antaranya adalah untuk membangunkan kepakaran dalaman sehingga penjawat awam terlibat mampu menguruskan pengendalian aplikasi itu untuk jangka masa panjang.

Bahkan katanya, kaedah lantikan vendor atau syarikat swasta bagi kerja membangunkan aplikasi bersepadu kerajaan tidak lagi sesuai kerana berisiko mendedahkan akses data kepada pihak luar.

“Lagipun apabila sesuatu aplikasi itu dibangunkan (oleh vendor), kontrak itu hanya terhad kepada kerja itu sahaja kerana ada kerja yang bukan dalam kontrak.

“Sebab itu juga dalam penggunaan PADU setakat ini kita boleh bagi reaksi dan kemas kini dengan cepat kerana ia diusahakan oleh penjawat awam.

“Pengemaskinian aplikasi ini memerlukan banyak pengubahsuaian dan pembaikan kelemahan yang tidak boleh terikat dengan pihak swasta,” katanya pada sidang media berkaitan PADU di sini hari ini.

Rafizi berkata, kebergantungan kerajaan kepada vendor luar sudah tentu akan menyebabkan usaha-usaha penambahbaikan sistem pangkalan data utama negara itu terbantut.

“Tidak dapat tidak ia mesti dilakukan sendiri oleh penjawat awam yang pada masa sama akan membina kemahiran sama taraf atau lebih baik daripada syarikat-syarikat pembangun perisian di luar.

“Bayangkan sekiranya kita bergantung kepada sumber swasta atau luar, maka kita tak boleh mengoperasikan aplikasi kerajaan itu dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, antara risiko yang perlu dielak adalah pencerobohan data pada aplikasi dan risiko pengendalian dan akses kepada data.

“Itu keputusan yang kami buat… bahawa ia perlu dikendalikan oleh penjawat awam untuk mengurangkan risiko ada pihak ketiga atau pembangun, atau pengendali yang ada akses kepada maklumat rakyat.

“Bezanya penjawat awam tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Jika mereka melanggar, itu jenayah yang terus boleh didakwa.
Kalau pihak ketiga atau swasta, mereka tidak tertakluk kepada ini semua.

“Sebelum ada pengendali pihak ketiga terdiri daripada vendor, sub-kontrak yang ada akses tapi tidak terikat kepada undang-undang dan tanggungjawab seperti penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai terhadap PADU sebagai pandangan yang ‘adil’ dan perlu ditambah baik untuk dijadikan sistem komprehensif.

Mengulas mengenai isu-isu yang timbul, Rafizi berkata, kebanyakan masalah yang diaju berkait dengan pengalaman kali pertama pengguna.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengguna mengakses PADU setiap hari dengan 200,000 pengguna mendaftar lengkap sehari.

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button