Jenayah & Mahkamah

Akibat pukul anggota JPJ, lelaki dipenjara sehari, denda RM4,000

ALOR SETAR – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM4,000 setelah didapati bersalah memukul seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terdahulu, kelakuan lelaki tersebut menjadi tular di media sosial menerusi satu video berdurasi satu minit 24 saat.

Menurut Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim, ketika kejadian, lelaki itu yang sedang memandu sebuah lori model Nissan Vanette enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, kenderaan tersebut kemudiannya berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, dekat sini dan telah menyerang anggota JPJ yang bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat selain provokasi.

“Ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugas rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan.

“(Dan) Ketika ditahan, individu terbabit melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,” tambah beliau.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan PUSPAKOM Tamat Tempoh.

“Lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai peniaga air tebu itu sudah ditahan polis dan sudah pun didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Individu terbabit sudah menjalani hukuman selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000,” kata Aman Shah lagi.

Jelasnya, JPJ Kedah mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dahulu, dengan mencemarkan imej perkhidmatan awam serta tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button