Berita Semasa

Lebih 300,000 pekebun kecil getah bakal terima duit raya – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara bakal menerima duit raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi selepas kerajaan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM 63.75 juta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, BKKA yang bakal disalurkan adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri melibatkan seramai 850,000 orang pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

“Bagi pekebun kecil getah di bawah seliaan RISDA, bantuan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM 63.75 juta yang memberi manfaat kepada seramai 318,642 orang pekebun kecil getah di seluruh negara di mana masing-masing menerima bantuan berjumlah RM200 seorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sabah anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Masjid Kampung Beboni, Papar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan ini dilaksakan bertujuan bagi meringankan bebanan kewangan dan memberi keceriaan kepada golongan pekebun kecil getah sempena sambutan Hari Raya Aidiliftiri yang bakal tiba.

“Secara umumnya, bakal penerima BKKA adalah dari kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun 2022. Bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima sepertimana yang telah didaftarkan dengan RISDA.

“BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button