Berita SemasaPM X

Usaha kolektif ASEAN-Jepun mampu bantu selesaikan konflik Palestin-Israel – PM Anwar

TOKYO – Usaha kolektif negara ASEAN dan Jepun boleh memainkan peranan penting bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel secara aman dan bertahan lama.

Seruan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, bertemakan Kajian Semula Hubungan ASEAN-Jepun, pagi tadi.

“Kami, Malaysia tentunya mengutuk kekejaman berterusan Israel di Gaza. Ia mengingatkan kepada Hiroshima dan Nagasaki. Secara bersama kita harus menyokong usaha berterusan terhadap keamanan dan penyelesaian terhadap konflik Palestin – Israel,” kata Anwar.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain kecuali Myanmar pada Sidang Kemuncak tersebut yang bermula pagi tadi.

Dalam pada itu, Anwar turut mengiktiraf kepakaran Jepun dalam bidang siber dan Malaysia menggalakkan penerusan kerjasama ASEAN-Jepun, bagi meningkatkan lagi standard keselamatan siber di rantau Asia Tenggara dengan perkongsian amalan terbaik.

Beliau berkata, perkembangan landskap digital yang pesat turut menyebabkan ancaman siber meningkat naik.

“Bersama-sama, kita mesti mengutamakan perlindungan untuk rakyat daripada eksploitasi siber yang berkaitan dengan keganasan, pemerdagangan orang serta pelbagai jenayah siber dan transnasional,” kata Anwar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button