Kandungan memudaratkan melonjak 24 kali ganda – MCMC
PUTRAJAYA – Tindakan menurunkan kandungan media sosial oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan melindungi pengguna Internet daripada kandungan memudaratkan yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, statistik kandungan seperti penipuan (scam), penjualan haram, perjudian, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian meningkat sebanyak 24 kali ganda di platform media sosial dan platform Over-The-Top (OTT).
“Kandungan memudaratkan di platform media sosial dan OTT menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 24 kali ganda iaitu daripada 1,019 pada 2022 kepada 25,642 pada tahun ini.
“Justeru pandangan kepada kandungan yang menimbulkan ancaman kepada fabrik sosial dan institusi di negara ini perlu dibataskan.
“Sebagai contoh, ucapan berbaur kebencian berpotensi mencetuskan keganasan, diskriminasi serta gangguan, sekali gus mencerminkan kepentingan untuk menguatkuasakan undang-undang dan kawal selia untuk penyederhanaan dan penurunan kandungan bagi melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan,” kata MCMC.
Kenyataan MCMC itu adalah maklum balas kepada laporan yang melaporkan Meta pemilik Facebook dan TikTok menyekat sebilangan besar hantaran di akaun serta media sosial di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurut laporan itu, Meta menyatakan pihaknya menyekat akses kepada lebih 3,500 item antara Julai 2022 dan Jun lalu sebagai tindak balas kepada laporan pengawal selia komunikasi negara serta agensi kerajaan yang lain.
Sementara itu, MCMC memperincikan daripada 1,019 kandungan memudaratkan pada 2022, sebanyak 422 adalah kandungan bersifat jelik; penipuan dan penjualan haram (315); pornografi (186) dan berita palsu (96).
Namun statistik itu melonjak ketara pada tahun ini, iaitu sebanyak 25,642 kandungan memudaratkan dengan 18,140 daripadanya membabitkan penipuan dan penjualan haram; berita palsu (4,008); kandungan jelik (2,858), pornografi (599) dan mengancam (37).