Berita Semasa

Laporan ketidakpatuhan NGO dibentang kepada Kabinet suku pertama tahun depan

PUTRAJAYA – Laporan mengenai ketidakpatuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada suku pertama tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan itu turut merangkumi senarai NGO yang telah dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Perkara ini disuarakan Jemaah Menteri (hari ini) dan mengarah KDN menyediakan laporan awal dan kami akan menyiapkannya pada suku pertama tahun depan. Adalah adil untuk memberi tempoh secukupnya kepada RoS bagi menyediakan laporan itu,” kata Saifuddin Nasution.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Pertubuhan Prihatin Komuniti 2023, di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 54,642 NGO telah dibatalkan pendaftarannya sejak 1966 kerana isu ketidakpatuhan termasuk gagal menghantar laporan kewangan tahunan.

Pada masa yang sama, RoS juga telah diarah untuk melakukan pemeriksaan NGO secara rawak mulai tahun depan dan meneliti laporan kewangan mereka bagi mengelak pertubuhan terbabit menggunakan ia sebagai platform melakukan perkara bercanggah undang-undang seperti aktiviti ‘cuci wang’ atau membiayai kegiatan haram.

“Saya kena tegaskan ia bukan terus batal (NGO) tetapi ada proses. Proses itu berupa peringatan kepada pemegang jawatan yang menguasai satu pertubuhan supaya patuh kerana kegagalan mereka untuk respons, kita anggap ia tidak aktif. Lebih baik kita ‘bersihkan’, jadi proses (batal) itu berlaku,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button