Luar Negara

WHO kecam Israel ganggu misi menyelamat mangsa perang di Gaza

GENEVA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menzahirkan rasa bimbang susulan serbuan yang dilakukan rejim Israel terhadap Hospital Kamal Adwan di Gaza.

Memetik laporan Reuters, Tedros berkata, hospital yang telah dikepung selama beberapa hari itu sepatutnya dilindungi.

“Saya amat bimbang mengenai laporan serbuan di Hospital Kamal Adwan di Gaza selepas beberapa hari dikepung,” kata Tedros dalam satu ciapan di X.

Seorang daripada 19 pesakit yang cedera parah yang cuba diselamatkan oleh pasukan perubatan dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan kerana di tahan.

Seorang kakitangan Bulan Sabit Merah juga dipisahkan daripada konvoi, dibogelkan, dipukul serta diganggu sebelum dihantar keluar beberapa jam kemudian dengan berjalan kaki, tidak berpakaian dan tidak berkasut, malah dengan keadaan tangan masih terikat di belakang.

“Kami amat prihatin terhadap pemeriksaan berpanjangan dan penahanan pekerja kesihatan sekali gus meletakkan nyawa pesakit dalam risiko,” kata Tedros.

Sabtu lalu, pemindahan pesakit kritikal dan bekalan pembedahan untuk menampung keperluan 1,500 orang di Hospital Al-Ahli telah dihalang oleh tentera Israel selepas beberapa pesakit dan kakitangan Bulan Sabit Merah diarahkan meninggalkan ambulans oleh pusat pemeriksaan Israel.

“Beberapa pekerja kesihatan ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam.

“Disebabkan ditahan, seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan. WHO menyeru untuk melindungi semua orang di dalam hospital. WHO selanjutnya menggesa gencatan senjata segera dan akses kemanusiaan yang berterusan kepada kemudahan kesihatan di seluruh Semenanjung Gaza,” kata Tedros lagi.

Menurut kementerian kesihatan tempatan, Tedros berkata, terdapat 65 pesakit termasuk mereka yang memerlukan rawatan rapi dan 45 kakitangan perubatan di hospital.

Semalam, WHO juga berkata sebelum ini hanya 11 daripada 36 hospital di Gaza sebahagiannya berfungsi iaitu satu di wilayah utara dan 10 lagi di selatan.

Show More

Related Articles

Back to top button