Lelaki maut digilis tren LRT
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya putus digilis tren di landasan di stesen transit aliran ringan (LRT) Dato Keramat, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt. Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira pukul 10.56 malam bahawa seorang lelaki dipercayai terjun ke landasan LRT tersebut.
“Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa telah melompat dan baring di landasan.
Tren tersebut kemudiannya melanggar mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk di kedua-dua belah kakinya,” kata Abu Samah dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak bomba cuba mengalihkan mangsa namun mendapati dia telah meninggal dunia.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan pada pukul 11.13 malam. Mayat kemudiannya dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat,” katanya lagi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis KL (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berhampiran.