Berita Semasa

Pengarah Urusan Think City terima pengiktirafan khas UN-Habitat

GEORGE TOWN – Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed baru-baru ini dianugerahkan Pengiktirafan Khas oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).

Pengiktirafan tersebut merupakan tanda penghargaan di atas sumbangan Hamdan dan Think City bagi kepimpinan berwawasan serta sumbangan yang luar biasa dalam usaha penjanaan semula bandar.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dalam satu majlis di ibupejabat Think City, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Hamdan melambangkan teras misi UN-Habitat untuk memupuk bandar dan bandar raya yang mampan dari segi sosial dan kelestarian alam sekitar, yang selaras dengan Agenda Bandar Baru.

“Ini bertujuan untuk mengoptimumkan bandar bagi pembangunan lestari dan juga merangka langkah penting untuk memastikan bandar dan penempatan manusia mendorong pelaksanaan SDG. Saya amat bangga untuk memberi penghormatan kepada sumbangan beliau dalam bidang ini,” kata Maimunah.

Sementara itu, Hamdan turut meluahkan perasaan syukur di atas anugerah yang diterima sambil menambah, ia merupakan dedikasi dan aspirasi kolektif Think City untuk pembangunan bandar yang berdaya huni.

“Perjalanan Think City adalah kisah kolaborasi pelbagai pihak yang bersatu untuk membentuk masa depan bandaraya kita.

Anugerah ini adalah penghargaan kepada setiap penyumbang dalam masyarakat yang telah memainkan peranan dalam meningkatkan ruang bandar kita, supaya lebih berdaya huni, lestari, dan memupuk keterlibatan masyarakat,” kata Hamdan.

Think City antaranya memainkan peranan penting dalam transformasi Pulau Pinang termasuk Program Transformasi George Town, pemuliharaan Esplanade Seawall, Projek Pemulihan Fort Cornwallis dan Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semulajadi untuk Kawasan Bandar Pulau Pinang (PNBCAP).

Tranformasi itu menjadikan George Town mengalami perubahan ketara sejak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008.

Inisiatif Think City yang berkesan bukan sahaja telah menjana semula George Town tetapi juga meletakkannya dalam senarai 10 Tempat Terbaik untuk Dikunjungi di persada antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button