Berita Semasa

Bekas wartawan terbit buku, kongsi ‘kisah gila’

CYBERJAYA – Berdepan masalah mental bukanlah sesuatu yang selesa untuk diperkatakan apatah lagi dikongsikan secara umum dalam penerbitan sebuah buku.

Menyedari betapa kesedaran mengenai masalah itu perlu lebih difahami masyarakat, bekas wartawan hiburan, Maliah Surip sanggup mengorbankan kisah ‘privasinya’ yang selama ini dianggap sebagai tabu dalam masyarakat.

‘Senandika: Bercakap Seorang Diri’ merupakan coretan Maliah mengenai pengalaman beliau berdepan penyakit General Anxiety Disorder (GAD) dan major depressive disorder (MDD) sejak dari tahun 2019.

Di dalam naskah ini, penulis menceritakan pengalaman bagaimana dirinya didiagnos dengan masalah kemurungan sehingga perlu mendapat rawatan berkala dan mengambil ubat sehingga ke hari ini.

“Selain bercerita tentang pengalaman, tujuan utama saya menulis buku ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah mental.

“Bukan sahaja untuk mereka yang mengalaminya, bahkan untuk difahami bersama-sama mereka yang hidup bersama individu yang berdepan dengan masalah ini.

“Saya ingin kongsikan betapa pentingnya orang-orang terdekat dan juga masyarakat memainkan peranan untuk memahami dan tidak menghakimi dalam usaha memulihkan mereka,” ujarnya.

Maliah berkata, buku yang dijual pada harga RM28.00 secara dalam talian itu juga mahu menyuntik semangat kepada golongan pengidap penyakit mental untuk kembali bersemangat dan terus berjuang meneruskan kehidupan.

“Bahkan buku ini juga saya jadikan motivasi setiap kali berada di ‘titik terendah’ itu, saya kena ingatkan diri bahawa ada pencapaian yang telah dilakukan sepanjang bergelut dengan penyakit ini,” katanya lagi.

Menurut Maliah, Senandika: Bercakap Seorang Diri tidak ditulis dalam penyampaian yang ‘menyayat hati’, sebaliknya banyak disulami dengan gaya penulisan ‘nakal’, lucu dan membina keyakinan bahawa penyakit ini boleh pulih.

“Selain bercerita tentang perjalanan penyakit ini, saya juga menyelitkan pengalaman berdepan dengan banyak pesakit mental lain yang lebih sengsara.

“Buku ini penting kerana akan memberi kesedaran buat masyarakat untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling,” katanya pada majlis pelancaran naskah pertama wanita berusia 42 tahun itu.

 

Majlis yang berlangsung di DXN Cyberville, Cyberjaya itu disempurnakan oleh artis popular Misha Omar yang turut dihadiri Amy Search.

Buku Senandika: Bercakap Seorang Diri kini boleh dibeli secara atas talian di Shopee atau melalui web dan di kedai-kedai yang menjadi pengedar sah naskhah ini.

Show More

Related Articles

Back to top button