Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Ambil alih tugas pandu bas, lelaki berlesen motosikal ditahan

KAJANG – Gara-gara mengambil alih tugas memandu bas pekerja, seorang pemuda yang hanya memiliki lesen motosikal ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi di Tol Sungai Ramal, malam semalam.

Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa dia diupah sebanyak RM30 bagi satu trip menghantar kira-kira 40 pekerja termasuk warga asing.

Katanya, dia menerima ‘tugasan’ memandu bas dari Serdang ke sebuah asrama di sini dengan niat membantu pemandu sebenar bas berkenaan yang menghadiri majlis kenduri.

Kesalahan memandu bas tanpa lesen itu menyebabkan dia ditahan, bas yang dipandu disita manakala pekerja warga asing yang tidak memiliki dokumen yang sah turut ditahan.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan kerana kesalahan memandu tanpa lesen yang sah.

Ops Patuh Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu turut disertai Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar.

Azrin (tengah) pada Ops Patuh Bersepadu JPJ dan pelbagai agensi lain di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang, Selangor malam semalam.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, Ops Patuh Bersepadu yang bermula pada 1 hingga 30 November ini akan dilaksanakan secara strategik.

Katanya, tumpuan utama diberikan kepada ops motosikal atau pemandu warga asing (PeWA), Ops Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) atau Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Lebuh Raya serta Ops Teknikal atau Puspakom.

“Ia merupakan strategi tangkas untuk penerapan rasa bersalah apabila pemilik atau pemandu kenderaan yang melakukan pelanggaran peraturan.

“Fokus diberikan terhadap kesalahan pengubahsuaian pelbagai aspek spesifikasi keselamatan teknikal yang tidak dibenarkan termasuk tingkah laku pemanduan berisiko atau berbahaya yang menjadi punca kemalangan serta kematian di jalan raya,” ujarnya.

Tambahnya, bagi tempoh 1 hingga 6 November, sebanyak 11,650 kenderaan diperiksa dan sejumlah 1,992 kenderaan diambil tindakan.

Menurutnya, kesalahan paling banyak dilakukan adalah kesalahan teknikal kenderaan iaitu 1,770 dan diikuti tiada atau tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) serta tiada perlindungan insurans (1,220).

Show More

Related Articles

Back to top button