PM X

PM sambut baik cadangan bayar balik PTPTN secara ICL

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL) menerusi pemotongan gaji automatik melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kaedah pembayaran tersebut adalah satu langkah yang praktikal dan tidak akan membebankan peminjam, sekali gus akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka.

Jelasnya, salah satu cabaran terbesar kerajaan pada hari ini adalah bagi menjamin pembiayaan pendidikan secara berterusan dan sehingga Mei lalu, jumlah pinjaman yang masih belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.

“Pada masa ini, PTPTN adalah penyumbang terbesar yang memungkinkan ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Namun, dengan kadar bayaran balik pinjaman adalah amat rendah, kita bimbang dengan kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang.

“Sehingga Mei 2023, jumlah pinjaman yang belum dibayar berjumlah RM66.9 Bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira- kira 2.5 juta orang pelajar baharu,” katanya melalui ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Penutupan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Mohammad Yusof Apdal.

Terdahulu, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) mencadangkan kaedah ICL diperkenalkan bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, sepanjang tiga bulan 200 peserta mewakili pelbagai organisasi terbabit dalam pasukan NRC untuk mengadakan proses semakan meliputi penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategik serta garis panduan berkaitan dengan pendidikan tinggi.

Katanya, 874 isu dikenal pasti di peringkat awal dan 58 cadangan penambahbaikan utama dibentangkan kepada pihak KPT, namun masih belum dimuktamadkan.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan memberikan potongan bayaran balik bagi peminjam PTPTN seluruh negara bermula 14 Oktober sehingga 31 Mac 2024.

Sementara itu, pelajar Diploma Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh, Nur Farah Amira Zaidi menyambut baik usaha kerajaan dalam menjamin pembiayaan PTPTN dapat diteruskan.

“Untuk mahasiswa daripada golongan B40 PTPTN ini memang diperlukan. Seperti saya pelajar B40 dan merupakan peminjam PTPTN saya dapat gunakan wang tersebut untuk beli barang keperluan dan sebagainya seterusnya mengurangkan beban saya.

“Macam sekarang ekonomi pun turun naik. Macam saya sendiri belajar di kolej komuniti tiada kolej disediakan yang mana saya perlu menyewa di luar kampus,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Nur Farah Amira yang juga merupakan Timbalan Presiden Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti Kebangsaan, turut menghargai komitmen yang ditunjukkan KPT dalam meneruskan agenda kebajikan peminjam PTPTN.

“Ya betul dibela (oleh KPT) dengan sangat bagus sebab mahu harapkan ibu dan bapa sahaja tidak boleh, jadi menerusi PTPTN dengan komitmen yang diberikan oleh KPT ini memang sangat-sangat membantu pelajar,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button