Skuasy sah dipertandingkan di Olimpik 2028
KUALA LUMPUR – Sukan skuasy sah akan dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 bersama empat lagi sukan baharu.
Selain skuasy sukan lain yang turut tersenarai ialah kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol yang dicadangkan oleh penganjur LA 2028 di temasya itu.
Keputusan itu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India, hari ini.
Di LA, skuasy akan menawarkan dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.
Dalam pada itu, memetik laport BH Online, Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam, berkata keputusan itu hadir tepat pada waktunya dan disifatkan sebagai satu langkah ke hadapan bagi mengangkat sukan skuasy ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini adalah sesuatu yang menakjubkan, kami semua amat gembira dan teruja dengan keputusan ini.
“Kini kami perlu melakukan segala persiapan dengan rapi dan betul agar Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dapat menganjurkan satu kejohanan yang baik di Sukan Olimpik, sekaligus menarik perhatian negara-negara lain untuk terus berminat untuk menyenaraikan skuasy di edisi Sukan Olimpik yang seterusnya, misalnya di Australia,” katanya.
Menurut beliau, SRAM selepas ini akan merangka program jangka panjang sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik LA 2028 dan dalam masa yang sama berharap agar barisan pemain skuasy negara turut akan diserap ke dalam program Road to Gold (RTG).
Katanya, ia bagi membantu persediaan mereka menghadapi temasya itu.
“Sebelum ini kami sudah pun merangka pelan jangka panjang untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia, dan kami akan melakukan perkara sama untuk Sukan Olimpik dalam menyediakan barisan pemain kami, agar mereka bukan sahaja ke sana untuk menyertai temasya tetapi turut meraih kejayaan di atas podium.
“Saya percaya jika anda mahu meraih kedudukan podium, anda perlu berada di dalam kedudukan sekurang-kurangnya 10 terbaik dunia. Berdasarkan ranking dunia semasa, Ng Eain Yow (perseorangan lelaki) manakala S.Sivasangari (ke-37) tetapi bermain seperti pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Jika mereka terus diberikan pendedahan sewajarnya, saya percaya mereka akan berada dalam kelompok itu, begitu juga pemain lain seperti Aifa dan Aira Azman serta Amishen Chandran dan pemain-pemain yang lain yang mampu merebut peluang untuk menjadi 10 terbaik dunia dan berpeluang mewakili negara di Sukan Olimpik.
“Saya amat yakin kami kini hanya menunggu masa sahaja sebelum dipanggil berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membentangkan pelan program kami bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan kemudian diserap ke dalam program RTG, kami hanya tunggu sahaja pengumuman daripada mereka,” katanya.