Berita Semasa

Usahawan, generasi muda perlu manfaatkan program PEDi

KUALA LUMPUR – Golongan usahawan dan generasi muda diseru supaya merebut peluang mengikuti latihan dan program mendalami bidang ekonomi digital yang ditawarkan oleh Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, peluang yang ditawarkan oleh 911 PEDi di seluruh negara harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform untuk meningkatkan taraf sosioekonomi diri dan keluarga.

“Generasi muda mewakili 30 peratus daripada komposisi 191,000 penduduk di parlimen ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kita sama-sama memperkasakan komuniti ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

“Besar harapan saya agar kewujudan PEDi menjadi pemangkin kepada kepesatan transformasi pendigitalan dan menjadikan penggunaan teknologi digital sebagai satu budaya dalam komuniti ,”katanya.

Wan Azizah berkata demikian ketika merasmikan Hari Bersama Komuniti (HBK) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di PEDi Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 21 PEDi telah diwujudkan sehingga kini dan Perumahan Awam Seri Sabah 3A merupakan satu-satunya PEDi yang wujud di Bandar Tun Razak.

Sejak penubuhan PEDi pada tahun 2017 hingga 30 September 2023, lebih daripada 7,123 penyertaan latihan telah direkodkan.

Hari Bersama Komuniti (HBK) di PEDi Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Di dalam ucapannya, Wan Azizah turut berkongsi kejayaan yang dicapai usahawan di bawah latihan PEDi yang  merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Antaranya ialah Zulamirul Ainuddin yang merupakan usahawan tempatan yang terlibat dengan perniagaan bidang kopi dan bouquet.

“Hasil bimbangan yang diterima, Encik Zulamirul kini memiliki jenama Kopi sendiri iaitu REN Coffee dengan peningkatan pendapatan bulanan yang kurang daripada RM300.00 kepada RM1,800.00.

“Puan Rogayah Dahlan yang mengusahakan produk makanan pula berjaya meraih pendapatan mencecah RM1,500 berbanding RM50 sebelum ini,” katanya.

Wan Azizah pada majlis merasmikan Hari Bersama Komuniti (HBK) anjuran MCMC di PEDi Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button