Berita Semasa

Silat Cekak semarakkan perpaduan

KUALA LUMPUR – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia telah berjaya mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat melalui Program Semarak Seni Silat Warisan Kita.

Menurut Presiden PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah, program yang berlangsung di perkarangan kompleks beli belah Sogo pada kelmarin itu, dimeriahkan dengan persembahan seni silat cekak selain peserta turut berpeluang menyertai senaman Ta Ba Ta.

Katanya, kali ini PSSCM mempelbagaikan pendekatan pelaksanaan program dengan menetapkan konsep riadah santai sebagai tema program.


“Pengunjung berpeluang mengenali lebih rapat Seni Silat Cekak Malaysia dengan berinteraksi dan mempelajari seni mempertahankan diri melalui perkongsian kaedah tangkisan dan Senam Ta Ba Ta silat iaitu senaman yang mengandungi pergerakan Silat Cekak. 

“Aktiviti di dalam program adalah persembahan pemuzik jalanan (Buskers) dari kumpulan Genji Buskers, demonstrasi  oleh Persatuan Adithada WPKL (Silambam), Classic Wushu Academy (Wushu) dan Silat oleh PSSCM,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemuncak acara adalah pelancaran Logo Baharu PSSCM oleh Maideen Kadir Shah dan Timbalan Penaung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Tunku Datuk Prof. Sr. Dr. Fauzi Tunku Sri Indera Setia Tunku Datuk Abdul Malek Al-haj.

Pelancaran logo baharu Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia – Foto ihsan

Menurut Maideen Kadir Shah lagi, logo baharu ini adalah satu inovasi PSSCM bagi menyesuaikan dengan zaman.

“Ini merupakan penambaikan lanjutan dari Seni Silat Cekak Malaysia yang pada hari ini berusia 58 tahun dan dinaungi oleh KDYMM Sultan Kedah.

“Tulisan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di dalam bulatan kuning mengelilingi lambang sedia ada adalah simbolik bahawa Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia merupakan Pemilik Mutlak Seni Silat Cekak,” katanya lagi

Dianggarkan hampir 500 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat serta kaum menyaksikan pertunjukkan pada hari tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button