PM X

Kerajaan komited teruskan inisiatif Payung Rahmah – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan terus komited dalam meneruskan inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani bagi menangani isu kos sara hidup rakyat di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif tersebut akan diteruskan dengan penglibatan dan kerjasama daripada kerajaan negeri.

Anwar yang telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023, hari ini, berkata, sebanyak tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup telah dibentangkan semasa mesyuarat ini.

“Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata, adalah menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan untuk memastikan mekanisme penjualan ubat yang lebih telus menerusi paparan harga.

“Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan

“Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, agensi-agensi Kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga telah diarahkan untuk lebih proaktif untuk bertindak sebagai agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT).

Katanya, edaran BPT itu perlu diberi keutamaan di kawasan pedalaman agar bekalan beras dapat diperoleh dengan lebih mudah.

Menurut Anwar lagi, kesemua perkara tersebut akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan.

“Saya juga menyeru agar semua agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani terus diperkukuh,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button