KBS, LHDN bincang insentif cukai khusus pembangunan sukan
CYBERJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengadakan pertemuan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membincangkan cadangan pemberian insentif cukai khusus buat pembangunan sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jika cadangan insentif itu dipraktikkan, ia dapat menggalakkan ibu bapa untuk berbelanja seterusnya menarik sektor korporat dalam penajaan sukan.
“Menerusi Bajet 2024,Kementerian berhasrat untuk menyediakan potongan cukai terhadap latihan dan bimbingan sukan selain daripada pembelian alat sukan.
“Objektif insentif ini diadakan adalah bagi menjadi asas kepada pembangunan sukan negara,” kata Hannah dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Beliau menambah, mesyuarat yang berlangsung semalam dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN, Datuk Seri Dr.Mohd Nizom Sairi “membuahkan hasil yang positif”.
“Dalam kenyataan Dr. Mohd Nizom menerusi media sosial, LHDN komited untuk bekerjasama dengan kementerian bagi merealisasikan agenda pembangunan negara di samping membangunkan sukan bagi membentuk generasi yang berkaliber.
“Dengan insentif ini, pembudayaan sukan dapat diperkasakan di semua peringkat akar umbi,” kata Hannah lagi.
Beliau seterusnya menambah, KBS akan meneruskan perbincangan berkenaan insentif tersebut dan berharap supaya cadangan itu dapat dipertimbangkan.