Pemandu treler terlibat nahas rempuh 13 kenderaan dituduh esok
PUTRAJAYA – Pemandu treler yang terlibat dalam nahas merempuh 13 kenderaan lain di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya, Rabu lalu akan dituduh di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, reman terhadap suspek yang dijalankan sebelum ini telah dilanjutkan.
“Kertas siasatan berkaitan kes ini telah lengkap dan telah dirujuk kepada pendakwa raya, serta arahan telah diberikan untuk mendakwa suspek pada Isnin.
“Tuduhan terhadap suspek akan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.14 pagi pada Rabu, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh individu lain cedera apabila sebuah treler merempuh 13 kenderaan di Persiaran Utara, dekat sini.
Kejadian berlaku apabila kesemua kenderaan terlibat berhenti untuk memberi laluan kepada latihan konvoi Le Tour de Langkawi(LTDL) di lokasi kejadian.
Suspek yang merupakan pemandu treler itu kemudiannya diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.