Berita Semasa

Kerajaan dicadang wujudkan GLC seperti Petronas kawal selia REE

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat dicadangkan untuk menubuhkan sebuah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengawal selia semua urusan berkaitan nadir bumi (REE) negara supaya dapat diselaraskan harga jualannya.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, kerajaan boleh mengambil contoh kaedah yang digunakan oleh Petronas untuk mengawal selia penjualan produk petrolium walaupun sumbernya terletak di kawasan negeri-negeri.

“Cadangan penubuhan agensi ini juga akan dapat mengelakkan pergaduhan antara negeri-negeri dengan Kerajaan Pusat dan seterusnya mengelak daripada eksploitasi harga, eksport haram dan kehilangan sumber nadir bumi ini, sekaligus menjamin pulangan segera dan keuntungan maksimum kepada negara,” katanya dalam persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hisamudin juga bertanya sama ada kerajaan berhasrat memanfaatkan sepenuhnya Lynas atau membangunkan kilang lain seperti kilang yang memproses nadir bumi terbesar di Malaysia itu berdasarkan kenyataan Perdana Menteri bahawa nadir bumi negara adalah dilarang dieksport keluar negara.

Mengulas lebih lanjut, beliau juga mencadangkan agar tanah kerajaan milik kementerian-kementerian lain yang berada di dalam Kuala Lumpur diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan harga yang nominal untuk tujuan pembangunan rumah-rumah mampu milik.

“Saya tertarik untuk membincangkan Projek Perumahan Rakyat di mana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sasarannya adalah membina sebanyak 500,000 unit rumah dari tahun 2021 hingga tahun 2025. Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit rumah telah dibina.

“Pembinaan ini sebenarnya sangat bertepatan dalam menangani isu pemilikan perumahan yang semakin meruncing dalam kalangan rakyat terutamanya golongan B40.

“Di Kuala Lumpur pada ketika ini, pembinaan rumah berkeluasan 850 kaki persegi yang memuatkan tiga bilik tidur dan dua bilik air dijual pada harga RM300,000.00. Masalah yang wujud di Kuala Lumpur sekarang ialah DBKL tidak mempunyai tanah yang mencukupi untuk membangunkan rumah ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan dapat menambah lagi dua sub zon bagi kawasan Putrajaya berikutan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) perlu menjaga sub zon yang banyak.

“Di bawah MPP Zon Putrajaya terdapat pecahan 6 MPP Sub Zon yang bertanggungjawab mengawasi present-presint yang berada dalam Putrajaya. Bagi MPP Sub Zon 1, mempunyai jumlah presint yang banyak yang perlu dijaga, iaitu Presint 5, 6, 16, 17 dan 18.

“Serupa juga MPP Sub Zon 5 yang mempunyai jumlah presint yang banyak, iaitu Presint 14, 15 dan 12 manakala MPP Sub Zon 4 mengawasi keseluruhan Presint 11 yang mempunyai kawasan yang amat besar. Memandangkan masalah penjagaan sub zon yang terlalu besar, saya ingin mencadangkan pihak kerajaan untuk menambah lagi dua sub zon bagi kawasan Putrajaya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button