Agong, Permaisuri dukacita tidak berkesempatan santuni rakyat di beberapa lokasi
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan duka cita kerana tidak berkesempatan singgah di beberapa lokasi semasa program Kembara Kenali Borneo seperti dirancangkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, di Sabah, rombongan Kembara Kenali Borneo tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu yang dijadualkan pada 4 September dan Tagal, Sungai Moroli di Ranau pada keesokan harinya.
Di Sarawak pula, rombongan Seri Paduka berdua tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si di Sibu yang dijadualkan pada 11 September selain rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya Fort Alice di Sri Aman sehari selepas itu.
“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong berdua serta rombongan tidak berkesempatan singgah di lokasi-lokasi atas faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan.
“Seri Paduka Baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang membabitkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu yang telah ditetapkan di hari-hari berkenaan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.
Zahari dalam pada itu berkata, baginda berdua amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu, bersalaman dan bergambar dengan Seri Paduka berdua di lokasi-lokasi tersebut.
“Baginda bertitah, sekiranya keadaan mengizinkan, baginda berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi tersebut di masa hadapan.
“Selanjutnya, sekiranya keadaan tidak mengizinkan, bermungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili baginda berdua,” ujarnya.