Berita Semasa

City University Malaysia rangkul pengiktirafan KPT

PETALING JAYA – City University Malaysia terus memperkukuhkan pencapaianya apabila berjaya menerima Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) 2022 sebagai Institusi Pendidikan Tinggi dalam kategori Berdaya Saing daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Menurut Timbalan Naib Canselor Kanan (Perkhidmatan Korporat & Kelestarian) & Pendaftar, Dr. Rosnizah Shaari, pengiktirafan tersebut merupakan satu peningkatakan pencapaian berbanding penarafan empat bintang yang diterima tahun lalu.

Menurut Rosnizah lagi, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kakitangan akademik universiti yang bertungkus-lumus dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi buat para pelajar.

Timbalan Naib Canselor Kanan (Perkhidmatan Korporat & Kelestarian) & Pendaftar City University Malaysia, Dr. Rosnizah Shaari.

Ujarnya, pengiktirafan daripada KPT itu juga bakal menjadi pemangkin untuk City University Malaysia terus menambah baik kualiti pendidikan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tersebut.

“Perubahan (bertambah baik) itu dari satu tahun ke satu tahun adalah hasil usaha daripada semua kakitangan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Siri Syarahan Penceramah Terkemuka yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika, Curtis Johnson di sini, semalam.

Untuk rekod, sistem penarafan SETARA digunakan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard universiti serta kolej universiti di Malaysia berdasarkan autonomi, kualiti dan prestasi institusi. 

Sistem penarafan ini telah dirangka untuk membantu universiti dan kolej universiti membina asas-asas yang kuat dalam tiga fungsi teras utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui matriks dan metodologi penilaian yang telah ditetapkan.

Ditanya mengenai sasaran City University Malaysia pada masa akan datang, Rosnizah berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada kedudukan universiti itu sendiri seterusnya meningkatkan kualiti program sedia ada.

“Kita telah mencapai tahap pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan KPT. Oleh sebab itu, kita akan sasar untuk ranking (kedudukan) dan akan memberi fokus kepada program contohnya program yang berkaitan dengan hospitaliti dan teknologi maklumat (IT).

Tambah Rosnizah, City University Malaysia yang kini mempunyai dua kampus iaitu di Petaling Jaya dan Johor Bahru serta satu pusat pembelajaran di Kota Kinabalu, bakal mengembangkan lagi cawangannya dengan pembukaan sebuah kampus baharu di Cyberjaya pada Januari tahun hadapan.

Ditubuhkan pada 1984, City University Malaysia kini menjadi salah satu institusi pendidikan tinggi swasta yang sedang meningkat naik di negara ini dengan jumlah 7,800 pelajar tempatan dan antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button