Hentikan pendakwaan terpilih, dasar Kerajaan Perpaduan lebih teruk dari zaman penjajah -TSMY
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak kerajaan supaya menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin pembangkang.
Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan yang dilakukan kerajaan ketika ini dilihat sebagai berat sebelah demi untuk menutup mulut pemimpin yang membela nasib rakyat.
“Berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang, saya menggesa kerajaan menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R (agama, bangsa dan institusi Diraja).
“Saya sendiri dikenakan tindakan kerana menyuarakan keresahan Orang Melayu dan Islam tetapi pemimpin di sebelah sana yang mengeluarkan kenyataan yang jahat dan jelas mengapikan sentimen perkauman langsung tidak disentuh walaupun puluh malah ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mempersoalkan hak beliau dan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk memperjuang hak orang Melayu dan agama Islam.
“Dan sejak bila pemimpin di negara ini tidak boleh lagi bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Islam.
“British telah lama meninggalkan tanah air kita tapi nampaknya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sekarang ini agak lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya.
Muhyiddin juga menyifatkan prinsip ‘reformasi’ yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak lebih 20 tahun telah mati.
“Di mana janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri?,” katanya.