Berita SemasaPolitik

UMNO tarik balik penggantungan Tajuddin

KUALA LUMPUR – UMNO membuat keputusan untuk menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang telah diadakan pada malam semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“MKT sebulat suara untuk melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin sebagai Ahli Umno berkuat kuasa serta-merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan Umno,” katanya dalam satu kenyataan.

Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.

Susulan itu, Tajuddin dilapor telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali sebelum penggantungan keahlian itu ditarik semula semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button