Serangan Israel ke atas Beirut ragut 31 nyawa
BEIRUT – Israel melancarkan serangan udara ke atas selatan Beirut semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, menurut laporan media rasmi dan kenyataan pihak berkuasa kesihatan negara itu.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengesahkan kematian tersebut berpunca daripada serangan Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di bahagian timur, selatan, dan sekitar ibu kota Beirut.
Majoriti mangsa terkorban di kawasan selatan, manakala empat kematian dilaporkan di timur negara itu.
Dalam satu kenyataan semalam, tentera Israel memaklumkan mereka telah menyerang sekitar 25 lokasi yang dikaitkan dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan.
Kawasan yang menjadi sasaran termasuk Nabatiyeh, Baalbek, Lembah Bekaa, selatan Beirut, serta pinggir bandar ibu kota itu.
Kawasan pinggir bandar selatan Beirut menyaksikan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan tersebut akibat serangan yang bermula sejak pagi.
Tentera Israel dikatakan mengeluarkan beberapa amaran evakuasi kepada penduduk sebelum melancarkan serangan.
Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan, empat gelombang serangan udara dilancarkan ke atas kawasan Haret Hreik dan Shiyah di selatan Beirut.
Di samping itu, Tyre dan Nabatiyeh di selatan turut menjadi sasaran, selepas penduduk di kawasan itu diberi amaran untuk segera berpindah.
Bagaimanapun, serangan dron yang menyasarkan kompleks kediaman di pinggir bandar Beirut dilaporkan berlaku tanpa sebarang amaran evakuasi terlebih dahulu.