Perbandingan perundangan COB, PBT dengan Singapura jadi contoh penambahbaikan buat negara – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Perbandingan perundangan berhubung Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di antara Malaysia dan Singapura boleh menjadi satu tauladan yang baik terhadap penambahbaikan perundangan negara.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC) perlu ditubuhkan, selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].
Jelas Kor Ming, ia adalah bagi menguruskan penyelenggaraan perumahan strata melibatkan kemudahan bersama.
“COB melalui Akta 757 diberi kuasa untuk melantik agen pengurusan bagi skim strata yang tidak mempunyai atau gagal menubuhkan JMB/MC, atau sekiranya JMB/MC yang dilantik gagal untuk menjalankan tanggungjawab untuk menyelenggara dan mengurus bangunan strata,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-PULAI) yang meminta KPKT menyatakan usaha dalam memperkasa COB dan PBT agar menjadi badan yang berkesan seperti Housing and Development Board (HDB) dan Urban Redevelopment Authority (URA) di Singapura.
Katanya, ia memandangkan terlalu banyak masalah pengurusan perumahan terutamanya rumah pangsa kos rendah seperti MC tidak berfungsi, penyelenggaraan lemah, komuniti bermasalah dan infrastruktur rosak.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT terus cakna akan keperluan untuk terus mempertingkatkan kerangka perundangan negara.
Justeru itu, katanya, di bawah Rolling Plan Tiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan telah bersetuju agar kajian dan pindaan Akta 757 dilaksanakan bagi membuat semakan semula peruntukan undang-undang sedia ada mengambil kira senario dan keperluan semasa.
“Antara perkara yang akan diteliti termasuklah peranan dan pemerkasaan JMB/MC serta aspek pertindihan peruntukan undang-undang strata sedia ada dengan akta-akta lain yang berkaitan,” ujarnya.
Bagi aspek pemerkasaan COB, Kor Ming berkata, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuklah pemusatan COB di bawah satu jabatan atau agensi di peringkat persekutuan bagi tujuan pemantauan yang efisien, tetapi masih tertakluk kepada perundangan persekutuan dan negeri.
Selain itu, pihaknya akan mengkaji struktur perjawatan COB sedia ada di PBT dengan mengoptimumkan keperluan sumber manusia sedia ada untuk meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan kawal selia.
“Aspek pemerkasaan COB juga merangkumi penelitian kembali peranan serta tanggungjawab COB seperti yang termaktub di dalam perundangan sedia ada,” jelas beliau lagi.
Pada masa yang sama, Kor Ming memaklumkan KPKT juga terus mempergiat usaha untuk menambah
baik pengurusan strata menerusi pendigitalan pengurusan strata serta pembangunan kompetensi COB.
Ujar beliau, usaha berkenaan diteruskan dengan pemantauan secara proaktif dan tindakan penguatkuasaan yang lebih responsif dan peningkatan aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan strata.