Uncategorized

MINDEF: Penyelenggaraan kapal TLDM tidak ganggu operasi di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan penarikan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari status operasi aktif untuk menjalani program penyelenggaraan pasang pulih (refit) tidak menjejaskan kesiagaan operasi di Laut China Selatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, ini disebabkan oleh TLDM merancang program refit dengan teratur bagi memastikan kesiagaan operasi sentiasa berada di tahap yang optimum.

“Bilangan kapal di sesuatu skuadron sudah dijadualkan untuk menjalani program refit secara bergilir, kecuali jika berlaku sebarang kecemasan luar jangka,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) di Dewan Rakyat, semalam.

Nordin ingin tahu sama ada penarikan kapal-kapal TLDM dari status aktif operasi untuk menjalani program refit bakal memberi kesan yang buruk terhadap aspek kesiagaan TLDM, susulan berlakunya insiden pencerobohan maritim di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia.

Tambah Mohamed Khaled, disebabkan setiap komponen pertahanan negara saling melengkapi antara satu sama lain, TLDM juga turut bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mengadakan rondaan dan pengawasan dengan memperagakan kehadiran di Laut China Selatan.

Jelas beliau, TLDM turut memastikan kesedaran domain maritim MDA sentiasa berada pada tahap tertinggi serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa terpelihara.

“Oleh itu, kapal-kapal yang tidak menjalani refit boleh ditugaskan secara bergilir bersama aset APMM yang lain untuk mendepani sebarang insiden pencerobohan maritim di kawasan ZEE Malaysia,” jelasnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button