Buku saya tidak pernah diharamkan KDN-Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa buku autobiografinya, Becoming Hannah: A Personal Journey, telah dicetak semula sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Hannah, buku tersebut menceritakan perjalanan hidupnya, termasuk pengalaman peribadi serta penglibatannya dalam dunia politik, lapor FMT.
“Pada helaian muka surat buku Becoming Hannah, jelas dinyatakan ia merupakan pengalaman peribadi. Buku ini telah berulang kali dicetak semula dan tidak pernah diharamkan oleh KDN,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hantaran media sosial oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff, dibuat dengan niat untuk memfitnahnya.
“Hantaran defendan jelas bertujuan menyinggung perasaan, menghina, dan memfitnah saya dengan menggambarkan saya sebagai ahli politik yang cuba menyebarkan agama Kristian melalui kerjaya politik saya,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman.
Kenyataan itu dibuat semasa prosiding saman fitnah terhadap Kamarul Zaman berhubung dua hantaran Facebook yang dimuat naik oleh pensyarah tersebut pada Mei 2017.
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Kamarul Zaman menunjukkan sikap tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau bebas mengamalkan agamanya.
“Defendan menggunakan istilah seperti ‘munafik’, ‘berdakwah’, ‘mempengaruhi’, dan ‘menghasut’ yang bertujuan mencetuskan kontroversi.
“Beliau sering menyalahgunakan kedudukannya untuk membuat tuduhan salah terhadap saya dan pemimpin DAP lain,” katanya.
Hannah turut menegaskan bahawa tiada bukti mana-mana individu Islam terpengaruh atau menyimpang daripada agama selepas membaca Becoming Hannah.
Malah, katanya, buku tersebut mendapat pengiktirafan daripada pemimpin Muslim di Malaysia.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah mendakwa Kamarul Zaman membuat tuduhan tidak berasas bahawa beliau cuba menyebarkan agama Kristian dan ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Sementara itu, Kamarul Zaman dalam pembelaannya menafikan tuduhan fitnah tersebut dan menyatakan bahawa tindakannya adalah wajar.
“Sebagai pensyarah dan seorang Muslim, saya bertanggungjawab memaklumkan kepada masyarakat mengenai kandungan buku itu. Saya bimbang ia mungkin mempengaruhi orang lain terhadap Kristian.
“Sebagai penganalisis politik, saya juga berhak memberikan pandangan mengenai isu politik di Malaysia,” katanya.