Jenayah & Mahkamah

TikTok jadi medium sindiket penipuan, kes dan kerugian meningkat

KUALA LUMPUR – TikTok kini menjadi platform pilihan sindiket penipuan untuk mencari mangsa dengan mempromosikan skim pelaburan palsu, selaras dengan populariti aplikasi itu dalam kalangan pengguna media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam kes penipuan pelaburan yang menggunakan platform berkenaan sejak 2021.

“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 131 kes telah dilaporkan. Jumlah itu meningkat lebih 90 peratus berbanding 59 kes pada 2023, 27 kes pada 2022, dan 13 kes pada 2021,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, nilai kerugian yang dicatatkan turut melonjak daripada RM400,000 pada 2021 kepada RM1.28 juta pada 2022 dan RM7.25 juta pada 2023.

“Setakat Oktober tahun ini, jumlah kerugian telah mencecah RM6.39 juta,” katanya lagi.

Ramli turut memaklumkan, daripada 131 kes yang direkodkan tahun ini, 66 mangsa adalah wanita manakala selebihnya lelaki.

“Daripada jumlah itu, 23 peratus mangsa berumur 31 hingga 40 tahun, diikuti 21 hingga 30 tahun (21.4 peratus) dan 41 hingga 50 tahun (17.5 peratus),” katanya lagi.

Berdasarkan kategori pekerjaan pula, pekerja swasta merupakan golongan paling ramai menjadi mangsa dengan 54.2 peratus.

“Mangsa lain adalah golongan tidak bekerja (16.8 peratus), pesara (9.9 peratus), penjawat awam (7.6 peratus), peniaga (6.9 peratus) dan pelajar (4.6 peratus),” tambahnya.

Beliau menyeru masyarakat agar lebih berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan mencurigakan yang dipromosikan melalui media sosial selain segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button