Sultan Selangor dukacita umat Islam tiada kepakaran pertikai fatwa
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita terhadap umat islam yang tidak mempunyai kepakaran dalam hukum syarak, namun bertindak mempertikai fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Baginda bertitah, proses pembuatan fatwa dilakukan secara teliti dengan mengambil pandangan banyak pihak khususnya anggota jawatan kuasa fatwa Selangor serta pakar hukum syarak sebelum diangkat bagi mendapat perkenan baginda.
“Beta menyeru segelintir umat Islam yang sering mempersoal tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu fatwa yang dikeluarkan.
“Rujuk pihak berkuasa agama jika terdapat sebarang kekeliruan atau persoalan berbangkit,” titah baginda pada perasmian Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Turut diadakan Majlis Pelancaran Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (Juffas), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor.
Menerusi Program bertemakan Ilmu Tasawwuf Murungkai Masalah Ummah itu, baginda berharap ia menjadi langkah penting ke arah penerapan pemahaman sebenar ilmu tasawwuf dan tarekat dalam kalangan masyarakat.
“Beta mengambil maklum antara cabaran menimbulkan kerisauan terhadap pengalaman tasawwuf dan tarekat apabila terdapat golongan tidak memahami ilmu dengan tepat atau belajar dari guru tiada tauliah lalu menyebarkan ilmu atau fahaman secara meluas kepada orang ramai.
“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman betul kepada masyarakat melalui usaha agensi agama mahupun institusi yang terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut digesa bagi memastikan semua penceramah menyampaikan pengajaran Islam terutama akifah, syariah, pengajaran ilmu dan tasawwuf mempunyai tauliah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Beta ingin mencadangkan agar diwujudkan penduan, sibilus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawwuf dan tarekat di Selangor.
“Beta yakin dengan kefahaman dan amalan yang benar, ia akan memberi perkembangan positif terhadap pembangunan ummah seiring dengan hasrat beta agar negeri dan negara lebih makmur, rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan bertolak ansur,” titahnya.