Perlawanan sulung Amorim dengan United berakhir hambar
IPSWICH – Perlawanan pertama Ruben Amorim selaku jurulatih baharu Manchester United berakhir dengan keputusan tidak seperti yang diharapkan, apabila sekadar seri 1-1 menentang pasukan bawahan Ipswich Town dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
United tidak mengambil waktu yang lama untuk ‘mendiamkan’ penyokong tuan rumah apabila mereka mendahului seawal saat ke-81 menerusi Rashford yang berjaya menyempurnakan hantaran hasil larian Amad di sebelah kanan.
Penjaga gol United, Andre Onana, menyajikan aksi menyelamat yang cemerlang dengan menggunakan satu tangan untuk menggagalkan percubaan Liam Delap menjelang tamat separuh masa pertama.
Walau bagaimanapun, Ipswich menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila Hutchinson melepaskan rembatan melengkung ke penjuru atas gol yang terbias pada pertahanan pelawat, Noussair Mazraoui.
Selepas rehat, penyerang Ipswich, Sam Szmodics, hampir menjaringkan gol dengan tumit belakang, tetapi percubaannya diselamatkan dengan kaki oleh Onana.
Kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan dengan keputusan seri ini meletakkan United di tangga ke-12 dengan 16 mata, enam mata di belakang kelompok empat teratas, manakala Ipswich pula kekal di tangga ke-18 dengan sembilan mata.
“Mereka adalah pemain yang sangat bagus, tetapi kami perlu memperbaiki fizikal, teknikal, dan taktikal, dan kami memerlukan masa untuk melakukannya.
“Agak sukar untuk menjangkakan apa-apa ketika ini. Ia bukan kejutan, tetapi anda perlu melihatnya sendiri… Itulah sebabnya saya sedikit gementar kerana anda tidak boleh memahami apa yang akan berlaku sehingga berada dalam perlawanan,” jelas Amorim pada sidang media.
“Para pemain mencuba, tetapi mereka terlalu banyak berfikir dalam perlawanan. Itu normal. Namun, kami sepatutnya memiliki lebih banyak penguasaan bola,” kata Amorim yang menggambarkan cabaran besar menantinya di United selepas aksi hambar pasukan.
Jonny Evans, Christian Eriksen, dan Alejandro Garnacho kembali ke kesebelasan utama apabila Amorim, yang berusia 39 tahun, membuat tiga perubahan daripada kemenangan ke atas Leicester City di bawah kendalian pengurus sementara Ruud van Nistelrooy dua minggu lalu.
Amorim menggantikan Erik ten Hag selepas jurulatih Belanda itu dipecat, dan peminat United ingin melihat bagaimana dia mengubah pasukan dalam usaha membawa kejayaan ke Old Trafford selepas bertahun-tahun menunjukkan prestasi mengecewakan.