Jenayah & Mahkamah

Mahkamah Tinggi KL arah kerajaan pulangkan jam tangan dikaitkan dengan gerakan LGBT kepada Swatch

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan 172 jam tangan Swatch yang dirampas pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lalu kepada syarikat The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd (Swatch Malaysia).

Hakim Datuk Amarjeet Singh ketika membacakan keputusannya berkata, KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkan jam dari siri Prde Collection itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Beliau turut membatalkan notis penyitaan terhadap Swatch Malaysia selepas membenarkan perintah certiorari yang dipohon oleh syarikat berkenaan.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya 6 Oktober berhubung permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jam tangan, Swatch bagi mencabar tindakan pihak responden itu merampas 172 jam tangan dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Peguam Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohammad Sallehuddin Md Ali berkata, Swatch perlu memfailkan afidavit balas selewat-lewatnya 20 Oktober.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Amarjeet membenarkan permohonan semakan kehakiman berkenaan selepas peguam bela syarikat terbabit, Nizam Bashir, memaklumkan AGC tidak membantah permohonan itu.

Pada 24 Jun lalu, Swatch menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonannya, Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Syarikat itu berkata, istilah penerbitan merujuk kepada untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang di beberapa negeri penting.

Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan daripada reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Rampasan kesemua jam tangan tersebut dibuat dalam satu operasi pada 13 dan 14 Mei tahun lepas.

Dalam operasi tersebut, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan LGBT.

Show More

Related Articles

Back to top button