IKMa buka pejabat di Ipoh, bantu perkasa sektor koperasi Perak
IPOH – Pembukaan pejabat baharu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Cawangan Ipoh di Kompleks Perdagangan DWJ@Meru di Bandar Meru Raya di sini diyakini dapat menyumbang kepada usaha pembangunan gerakan koperasi di negeri ini.
Perasmian pejabat itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, hari ini.
Ewon dalam ucapannya berkata, beliau yakin operasi IKMa sebagai pusat latihan koperasi utama di dalam negara mampu memacu prestasi dan potensi sektor koperasi di Perak, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Potensi itu telahpun dibuktikan apabila 11 koperasi dari Perak tersenarai dalam senarai 100 koperasi terbaik di negara ini.
“Saya percaya ini juga adalah manifestasi dan cerminan hasil usaha berterusan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan IKMa,” katanya selepas majlis perasmian pejabat IKMa Cawangan Ipoh di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga IKMa, Onn Abu Bakar; Pengerusi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan; Pengerusi Islamic Sosioeconomis Development Foundation (ISDEF), Mohd. Najib Mohd. Noor; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd. Zaib Mat Yunus dan Ketua IKMa Cawangan Ipoh, Nur Faeza Yahya.
Dalam majlis itu juga, Ewon turut melancarkan Tabung Pendidikan ISDEF-UKKM bagi membantu pelajar golongan berpendapatan rendah atau B40 untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) itu.
Beliau yang juga Canselor UKKM berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar B40 tidak tercicir dalam melanjutkan peluang pendidikan tinggi khususnya dalam bidang pengajian koperasi.
“Tabung Pendidikan ISDEF-UKKM ini adalah aspirasi besar untuk memastikan tiada anak bangsa yang ketinggalan hanya kerana kekangan ekonomi.
“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja membuka pintu kepada pendidikan tinggi tetapi turut menggalakkan pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik,” katanya.
Tambahnya, tabung itu juga berfungsi sebagai tabung endowmen (tidak berteraskan keuntungan) yang menjadi alternatif untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar UKKM yang layak.
Untuk rekod, IKMa sebelum ini dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia merupakan satu-satunya pusat latihan koperasi dalam negara.
Institut itu pernah berada di bawah beberapa kementerian dan kini diletakkan di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).