Berita Semasa

AIU umum Sonny Bill Williams sebagai Pro-Canselor

ALOR SETAR – Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) mengumumkan pelantikan Sonny Bill Williams selaku Pro Canselor berkuat kuasa 1 November selama dua tahun.

Menurut universiti tersebut dalam satu kenyataan semalam, nilai kendiri Williams yang merupakan ikon sukan global bertepatan dengan nilai teras AIU.

“Beliau bukan sahaja terkenal dengan kerjaya sukan yang cemerlang tetapi juga dengan dedikasinya terhadap usaha kemanusiaan, integrasi budaya, dan pemerkasaan belia.

“AIU percaya Williams secara sempurna mencerminkan Nilai Teras 5A dan Peraturan 8-Jam yang menjadi panduan di AIU, iaitu memupuk tujuan, belas kasihan, ketabahan, dan usaha mencapai kecemerlangan.

“Perjalanan hidupnya yang luar biasa, di dalam dan di luar lapangan, mencerminkan kuasa transformasi tekad dan komitmen untuk berbakti kepada kemanusiaan, memberi inspirasi kepada jutaan pengikutnya di seluruh dunia,” kata AIU dalam satu kenyataan, semalam.

Williams,39, memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dengan Kepujian dari Otago Polytechnic, New Zealand.

Menurut AIU, Williams akan memainkan peranan penting dalam menyokong misi universiti untuk melahirkan graduan yang serba boleh, berdaya saing di peringkat global, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Majlis pelantikan Williams sebagai Pro-Canselor akan dibuat pada 10 Disember depan.

Williams merupakan atlet terkenal dunia dari New Zealand, yang diiktiraf atas pencapaiannya yang luar biasa dalam pelbagai sukan termasuk liga ragbi, ragbi kesatuan, dan tinju profesional.

Dua kali memenangi Piala Dunia Ragbi bersama pasukan All Blacks, Williams juga bertanding di Olimpik dalam acara ragbi tujuh sebelah dan meraih kejayaan besar dalam tinju profesional dengan beberapa gelaran.

Show More

Related Articles

Back to top button