Lawatan PM Anwar ke Korea Selatan perkukuh hubungan dua hala
SEOUL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dalam lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu, kata Kementerian Luar.
Menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, Anwar dan para delegasi dijangka tiba pada jam 10 malam ini waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Katanya, pertemuan kedua-dua pemimpin itu dijangka berlangsung di Pejabat Presiden di Yongsan di sini, yang bakal menyentuh hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan berkembang sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1960.
Menurut Wisma Putra lagi, kedua-dua pemimpin itu juga bakal membincangkan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, selain bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Korea Selatan 2025.
“Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu Kerjasama Pendidikan Tinggi, Kerjasama Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Pendekatan Kerjasama di Bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.
“Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat terkemuka Korea Selatan.
“Beliau juga dijadual menyampaikan ucapan khas bertajuk ‘Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia’ di Universiti Kebangsaan Seoul pada hari terakhir lawatannya,” katanya.
Lawatan Anwar ke Korea Selatan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Tambah Wisma Putra, lawatan rasmi pertama Anwar ke Korea Selatan sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022 itu bakal
mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada 2025,” katanya.
Sebagai rekod, jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencatat nilai RM81.61 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Selain itu, dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek pembuatan dengan kepentingan Korea Selatan telah dijalankan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion.
“Pada tahun 2023, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion (USD24.35 bilion).
“Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Republik Korea di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global,” katanya lagi dalam kenyataan itu.