DodoLobo tawar keenakan dodol tradisi Negeri Sembilan
KEUNIKAN sajian warisan tradisional sentiasa memikat hati walaupun berdepan kepesatan perkembangan makanan moden yang penuh variasi.
Salah satu juadah istimewa yang mempunyai khalayak penggemar yang tersendiri adalah dodol resipi tradisi Negeri Sembilan, DodoLobo.
Berbeza dengan dodol biasa, DodoLobo ini memiliki keistimewaan kerana menggunakan beras pulut yang dikisar sendiri, menjadikan teksturnya lebih halus, pekat dan kaya dengan rasa asli yang sukar ditandingi. Ia juga dimasak menggunakan kayu api berbanding dapur gas.
Diusahakan oleh seorang anak muda, Mas Earil Mustafa, 41, atau lebih dikenali sebagai Mas Lobo, jualan DodoLobo di tepi jalan besar di Taman Kencana, Ampang, Selangor, berjaya menarik perhatian penduduk sekitar.
Menurut Mas Lobo, bisnes dodolnya telah dimulakan sejak tahun 2005 lagi. Ketika itu, dia bekerja sebagai seorang guru di Subang.
“Apabila tiba musim perayaan, saya akan membuat dodol di kampung yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan. Kemudian apabila kawan-kawan tahu, mereka berminat untuk merasainya. Jadi, saya buka tempahan dan alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dari tahun ke tahun.
“Kemudian pada tahun 2013, saya dapat peluang meletakkan jualan dodol ini di kedai kuih raya yang diusahakan pelakon Yana Samsudin. Dari situlah jenama dodol kami terus dikenali ramai terutama dalam kalangan selebriti,” kata Mas Lobo kepada Malaysia Tribune.
Bagaimanapun, baru-baru ini, dia membuat survey di platform TikTok dan mendapati tidak ada jualan dodol secara live di sekitar Kuala Lumpur, sebaliknya banyak di Melaka dan di Negeri Sembilan.
Disebabkan itu, Mas Lobo terus bertindak memulakan kembali perniagaan DodoLobo ini sebagai usaha mencari rezeki halal.
Usaha itu juga merupakan kebangkitan pertamanya selepas diserang minor strok pada bulan Ogos lalu yang menyebabkan tubuhnya kebas separuh badan.
“Alhamdulillah, Allah buka pintu rezeki untuk berniaga dodol di tepi jalan. Syukur kerana sambutan setakat ini sangat memberangsangkan,” ujarnya.
Ditanya cabaran dalam menjalankan perniagaan ini, Mas Lobo memberitahu proses pembuatan dodol memang mengambil masa yang lama.
“Sekali kacau satu kawah dodol memakan masa lebih enam jam. Kalau nak kata cabaran, kepenatan adalah cabaran utama. Senang cerita, nak siapkan sesuap dodol itu perlukan kekuatan fizikal dan mental.
“Tapi bila dodol sudah siap dimasak, timbul kepuasan melihat sajian tradisi ini berjaya dihasilkan. Apatah lagi apabila keenakannya mendapat pujian daripada pelanggan,” jelasnya lagi.
Mempunyai impian untuk memasarkan dodol tersebut ke pasaran lebih besar, Mas Lobo bagaimanapun mengakui ia bukan satu tugas yang mudah.
“Harapan dan impian memang ada. Cuma, dodol ini makanan tradisi dan kita kena berpijak di bumi nyata. Untuk pergi ke pasaran lebih besar, banyak lagi yang perlu kita pelajari. Kena tambah ilmu dalam perniagaan dan sebagainya.
“Tapi saya percaya, tak mustahil jualan dodol boleh mencecah jutaan ringgit andainya kita pandai dan bijak menguruskannya,” ungkap Mas Lobo mengakhiri bicara.
Dijual pada harga RM15 (250 gram), RM20 (400gm) dan RM25 (500gm), DodoLobo mampu memenuhi citarasa pelanggannya termasuk mereka yang menggemari dodol cair.
Apa yang pasti, proses pembuatannya dodol bukan sekadar kerja tangan tetapi melibatkan nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Ia menggambarkan seni kesabaran, kerjasama dan keikhlasan di mana setiap adunan dimasak perlahan-lahan dengan api sederhana sehingga menghasilkan tekstur kenyal dan rasa manis lemak yang sempurna.
Untuk maklumat lanjut, hubungi MasLobo di talian 019-259 0313 atau layari TikTok, Facebook, Instagram @Maslobo.