Berita Semasa

Kerajaan negeri Selangor sediakan tiga geran bantu rumah perlindungan wanita, badan bukan kerajaan dan pusat kebajikan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri menyediakan tiga jenis geran berjumlah RM373,000 untuk disalurkan kepada rumah perlindungan wanita, badan bukan kerajaan dan pusat kebajikan tahun ini.

Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, 16 pusat kebajikan di bawah program Pusat Kebajikan Lestari menerima RM150,000, diikuti tujuh persatuan bawah program Sinergi Prihatin juga menerima RM150,000.

Manakala sebanyak RM73,000 pula diberi kepada enam rumah perlindungan wanita untuk membantu dan menambah baik rumah tersebut terutama daripada segi operasi yang lebih cekap.

“Sumbangan ini bertujuan menyokong dan membantu pengurusan rumah perlindungan dan kebajikan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka terutama daripada aspek fasiliti dan operasi.

“Semoga geran ini dapat memberi manfaat kepada penerima dan penjaga serta golongan sasar yang dijaga,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Selangor di Foyer Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Anfaal memberitahu, pemberian geran ini selaras dengan Rancangan Selangor Pertama Tema Strategik 2 – Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, serta hasrat Kerajaan Negeri untuk Kita Selangor Maju Bersama.

“Bagi program pusat kebajikan lestari, ia juga bertujuan memberdaya pusat kebajikan berdaftar dan beroperasi di Selangor dengan memberikan dana untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button