Berita Semasa

KDN pelawa orang ramai tukar Al-Quran tiada perakuan, rosak

PUTRAJAYA – Orang ramai yang mengunjungi Sambutan 2 Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bermula esok boleh menyerahkan Al-Quran yang tiada perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau yang rosak untuk ditukar.

Program dinamakan Jom Exchange Al-Quran (JEQ) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk memastikan hanya Al-Quran yang mempunyai perakuan KDN sahaja berada di dalam komuniti Islam di dalam negara.

“JEQ merupakan salah satu inisiatif di bawah Ops Mulia, dimana orang ramai dipelawa secara sukarela menyerahkan Al-Quran yang tiada perakuan untuk diganti dengan Al-Quran baharu yang mempunyai perakuan, kata Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), KDN dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menukar Al-Quran, boleh berbuat demikian di reruai KDN yang dibuka sepanjang sambutan itu berlangsung mulai esok hingga Ahad.

Selain itu, reruai KDN turut menyediakan perkhidmatan lain seperti kaunter pengurangan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menawarkan diskaun saman sehingga 60 peratus bagi kesalahan saman yang terpilih.

Di samping itu, turut diadakan, pendaftaran bagi keahlian baharu RELA, dan juga pameran aset dan kelengkapan anggota beruniform di bawah kementerian.

Show More

Related Articles

Back to top button