Berita Semasa

Amaran China: ATM perlu bersedia hadapi sebarang kemungkinan – Khaled

TANJONG MALIM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta untuk bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran China yang meminta Malaysia menghentikan aktiviti cari gali minyak dan gas di perairan Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan isu kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing bertarikh 18 Februari lalu.

“Surat tu belum ada kesahihan, tapi memang kita tak nafikan ada tuntutan bertindih (di kawasan Laut China Selatan) dan kita sentiasa memerhatikan apa berlaku antara China dan Filipina.

“Kita juga tak tolak kemungkinan, kita perlu bersedia (dalam keadaan) apa pun,” katanya selepas diminta mengulas mengenai kebocoran maklumat nota diplomatik China yang dilaporkan media asing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Executive Lecture Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Terdahulu, Kementerian Luar dilaporkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat terbabit.

Kata Kementerian Luar, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

Selain itu, Malaysia juga kekal komited dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif dan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Show More

Related Articles

Back to top button