Jenayah & Mahkamah

Tukang rumah individu pertama dihukum sebat di khalayak ramai

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dijatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Menurut BH Online, hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Hakim memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu pada 6 Disember depan, selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan.

Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda dikenakan.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakiman berkata, dalam menjatuhkan apa-apa hukuman, matlamat utama dalam syariat dan dari segi agama adalah memberi pengajaran, pendidikan dan sebagai suatu pencegahan supaya perkara sama tidak berulang khususnya ke atas tertuduh dan juga sebagai peringatan pencegahan ke atas orang awam secara amnya.

“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang sama sebanyak dua kali. Kamu (Mohd Affendi) pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi (berkhalwat).

“Hukuman kali pertama (sebatan kerana khalwat) sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia kesalahan ketiga tertuduh.

Show More

Related Articles

Back to top button