Tiga maut ketika ujian prestasi kenderaan di kilang Hyundai
ULSAN – Tiga individu dilaporkan maut ketika melaksanakan ujian prestasi kenderaan di kilang Hyundai Motor Co, di sini semalam, lapor agensi berita Yonhap.
Mangsa yang terdiri daripada dua penyelidik Hyundai dan seorang pekerja subkontraktor, ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik ujian pada kira-kira pukul 3 petang.
Kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia, kata laporan itu yang memetik kenyataan pegawai syarikat dan pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati, punca kematian mungkin disebabkan pendedahan kepada gas toksik dalam kawasan ujian tertutup.
Polis telah melancarkan siasatan untuk menentukan keadaan sebenar kejadian itu dan meminta bedah siasat dilakukan bagi mengesahkan punca kematian.
Kementerian Pekerjaan dan Buruh Korea Selatan turut menghantar pemeriksa ke lokasi bagi menyiasat insiden itu dan menilai sama ada Akta Hukuman Kemalangan Serius boleh digunakan.
Akta itu menetapkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (US$717,360) bagi pemilik perniagaan atau eksekutif yang didapati bertanggungjawab atas kemalangan industri serius yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.
Hyundai Motor Co dalam ucapan takziahnya kepada keluarga mangsa, turut berjanji untuk melaksanakan usaha komprehensif bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.