Semua PBT di Terengganu diarah tidak perbaharui lesen jual vape
KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu sudah diarahkan untuk tidak memperbaharui lesen penjualan vape atau rokok elektronik.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan dengan PBT berkenaan arahan tersebut.
Beliau menegaskan, tindakan itu bertujuan menjaga maslahah umum terutama golongan muda.
“Mengikut bidang kuasa PBT, kerajaan negeri berkuasa untuk tidak membenarkan premis digunakan sebagai tempat penjualan vape,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar termasuk melarang penjualan vape melalui PBT.
Katanya, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan saranan supaya penggunaan vape diharamkan sepenuhnya di negeri itu.
Saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).