Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Pondok Santapan ‘syurga’ buat kaki makan

DIGELAR syurga makanan oleh pelanggannya, Pondok Santapan sememangnya menawarkan pengalaman gastronomi yang menggiurkan.

Sebut sahaja apa yang mahu dimakan daripada kudapan, pencuci mulut, makanan viral, tradisional mahupun menu variasi moden, semuanya boleh didapati di premis ini.

Pelbagai jenis makanan daripada menu tradisional, kuih muih, pencuci mulut, makanan Korea, Jepun termasuk menu viral terkini ditawarkan di Pondok Santapan.

Terletak di Tanjung Minyak, Melaka, kedai ini boleh membuatkan anda rambang mata untuk memilih seleksi makanan yang ada.

Ya, itu yang penulis alami apabila berpeluang berkunjung ke Pondok Santapan ketika pulang menziarahi ibu mertua baru-baru ini.

“Kak, jomlah pergi kedai tu. Mesti akak tak tahu nak beli apa sebab pilihan makanan dia sangat banyak. Nak makanan manis, pedas, makanan Korea semua ada,” ajak adik ipar sambil tersenyum lebar.

Tapi sungguh, sebaik menjejakkan kaki ke dalam kedai tersebut, saya rasa amat teruja. Memang betul, terdapat pelbagai jenis makanan yang dijual. Semuanya kelihatan lazat dan menggamit selera.

Ketika kami sampai, pengunjung sangat ramai. Untuk membuat bayaran pun kena beratur panjang. Seorang keluar, dua tiga orang masuk, menjadikan premis itu agak sesak.

Terdapat pelbagai jenis makanan yang dihantar vendor sekaligus membuka peluang rezeki buat penduduk setempat.

Maka, tidak hairanlah dalam tempoh singkat rak yang meletakkan produk jualan menjadi kosong kembali.

Salah seorang pelanggan, Nurul Atika Madun berkata, Pondok Santapan memang banyak keistimewaannya dalam kalangan penduduk setempat.

“Bukan sahaja makanan Melayu bahkan menu orang India seperti pani puri pun ada dijual. Harganya sangat berpatutan dengan portion yang diberikan.

“Selain itu, pelanggan boleh membeli pelbagai jenis menu viral yang terkini seperti Thai milk bun, bento, kunafa aiwa, Vietnam roll, ‘suka dessert’ dan banyak lagi.

Seleksi minuman berasaskan kopi turut ditawarkan di premis ini.

“Tidak ketinggalan, ia turut menawarkan air minuman dan kopi barista dengan menu terbaharu yang kesedapannya setanding dengan jenama terkenal,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Para pelanggan boleh memilih sama ada mahu dine-in, take away atau menggunakan perkhidmatan penghantaran yang disediakan bagi menikmati makanan yang diidamkan.

Penulis bersama adik ipar dan anak perempuan rambang mata nak buat pilihan makanan yang ingin dibeli ketika berkunjung ke kedai ini.

Sama ada anda ingin menikmati juadah santai bersama keluarga atau mencari lokasi untuk menjamu selera dengan rakan, Pondok Santapan ini adalah tempat yang wajib anda singgah jika berkunjung ke negeri Hang Tuah.

Pondok Santapan
Alamat: No. 31, Jalan STM 1, Taman Seri Tanjung Minyak,
75260 Tanjung Minyak, Melaka.
No. Telefon: 016-9348101
Waktu operasi: Dibuka setiap hari (9 pagi – 7 petang)
Facebook/Instagram/TikTok: Pondok Santapan Melaka

Show More

Related Articles

Back to top button