Berita Semasa

MyKad baharu dilengkapi ciri keselamatan tinggi – KDN

Selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini

KUALA LUMPUR – Kad pengenalan (MyKad) struktur baharu yang bakal diperkenalkan mempunyai ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan perolehan MyKad baharu itu, yang bakal menggantikan kad pengenalan sedia ada yang diperkenal pada 2012.

“(Ciri keselamatan tinggi ini) bagi membendung sebarang cubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan MyKad yang menjadi dokumen penting bagi Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Mandzri, Shamsul berkata, MyKad generasi baharu ini dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih itu diperbuat daripada bahan ‘polycarbonat’ yang sudah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.

“Ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar dengan piawaian keselamatan yang dipertingkatkan. Kad ini kita buat untuk bendung masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data.

“Reka bentuk MyKad baharu ini juga tampil lebih moden dengan elemen seperti tulisan laser dan hologram yang lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini. Ciri keselamatan terkini itu diyakini mampu mengatasi isu pemalsuan,” katanya.

Menyentuh kos penggantiannya, Shamsul berkata, JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan MyKad baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik.

“Usaha ini untuk memastikan kos pengeluaran yang tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum sejajar garis panduan ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button